1.0 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2020 disediakan selaras dengan kehendak dan peruntukan Bahagian III Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Penyediaan RSNPP ini adalah untuk melengkapkan sistem perancangan fizikal di samping menterjemahkan dasar-dasar Rancangan Fizikal Negara (RFN). Ia juga bertujuan untuk menyelaraskan dasar-dasar Rancangan Pemajuan sedia ada di samping saling melengkapi perancangan pembangunan Negeri semasa dan masa hadapan.

RSNPP merupakan satu dokumen penyataan bertulis yang mengandungi dasar-dasar perancangan strategik dan cadangan-cadangan pembangunan kegunaan tanah serta hala tuju perancangan pembangunan masa hadapan bagi Negeri Pulau Pinang. Ianya disokong dengan Gambar Rajah Utama serta Pelan-pelan Subjek bagi memperjelaskan dasar-dasar perancangan strategik dan cadangan-cadangan yang dikemukakan.

1.2 KEPERLUAN PENYEDIAAN RANCANGAN STRUKTUR NEGERI PULAU PINANG (RSNPP)

Negeri Pulau Pinang telah pun mempunyai beberapa rancangan-rancangan pemajuan sedia ada seperti Rancangan Struktur Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1987, Rancangan Struktur Majlis Perbandaran Seberang Perai 1985-2000, Rancangan Struktur (Pengubahan) MPPP 2000 (RS(P)MPPP), Rancangan Struktur (Pengubahan) MPSP 2000 - 2010 (RS(P)MPSP) dan beberapa rancangan tempatan. Rancangan-rancangan pemajuan ini telah disediakan mengikut ketetapan perundangan yang terkandung di dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa (1976 (Akta 172). Pada tahun 2001, Akta Perancangan Bandar dan Desa telah dipinda, dimana Majlis Perancangan Fizikal Negara telah ditubuhkan dan berfungsi untuk menyelaraskan perancangan fizikal di peringkat negara melalui Rancangan Fizikal Negara (RFN). Keperluan Akta turut mengkehendaki satu rancangan pemajuan (Rancangan Struktur Negeri) disediakan di peringkat Negeri dan kemudiannya diperincikan di peringkat tempatan melalui Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas.

Selaras dengan pindaan akta tersebut, Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang telah disediakan bertujuan untuk:

  1. Melengkapkan sistem perancangan fizikal negara yang terdiri dari tiga peringkat iaitu Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri (RSN) dan Rancangan Tempatan (RT) supaya lebih sistematik dan berkesan;
  2. Menterjemahkan dasar-dasar RFN yang disediakan di peringkat negara dan menyelaraskan dasar-dasar Rancangan Struktur (Pengubahan) MPPP dan Rancangan Struktur (Pengubahan)MPSP;
  3. Menentukan hala tuju dan dasar-dasar spatial guna tanah Negeri kepada perancang dan pelaksana;
  4. Menyelaras perancangan dan pembangunan Negeri terutama perkara yang berkaitan kepentingan bersama di peringkat PBT; dan
  5. Menggalakkan penggunaan dan pengurusan ruang fizikal yang optimum di peringkat Negeri.

Rajah 1.1: Peringkat Penyediaan Rancangan Pembangunan Negara

1.3 PROSES PENYEDIAAN RANCANGAN STRUKTUR NEGERI

Penyediaan RSNPP ini dibahagikan kepada 2 peringkat utama berasaskan kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, (Akta 172) penyediaan iaitu:-

1.3.1 Laporan Pemeriksaan

Laporan Pemeriksaan RSNPP mengandungi rumusan-rumusan penemuan kajian berdasarkan kepada sektor-sektor yang telah dikaji. Hasil daripada rumusan penemuan ini beberapa isu-isu strategik dikenal pasti dan strategi-strategi pembangunan dicadangkan bagi mengatasi isu-isu tersebut.

Laporan ini telah diserantakan kepada orang ramai selama sebulan dari 23 April 2005 sehingga 24 Mei 2005 bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menyuarakan pandangan serta cadangan. Pandangan-pandangan yang dikemukakan telah diambil kira semasa penyediaan draf RSNPP berdasarkan syor-syor Jawatankuasa Pendengaran Bantahan.

1.3.2 Laporan Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN)

DRSN mengandungi penyataan-penyataan bertulis bagi menyokong pembentukan Gambar Rajah Utama. Penyataan-penyataan tersebut merangkumi perkara-perkara berkenaan dengan dasar perancangan strategik yang merangkumi perkara-perkara berikut :-

Dasar-dasar strategik ini adalah dasar-dasar yang akan memberi impak dan mempengaruhi arah tuju pembangunan spatial Negeri. Penyataan bertulis akan disokong oleh jadual dan rajah serta disertai dengan langkah dan tindakan yang akan memberi panduan kepada perlaksanaan RSNPP.

Publisiti awam DRSN telah diadakan dari 28 Ogos, 2006 hingga 30 September, 2006. Pandangan dan bantahan yang diterima semasa tempoh publisiti tersebut telah dipertimbangkan dalam memuktamadkan penyediaan RSNPP.

1.3.3 Kelulusan Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN)

DRSN telah diluluskan pada 12 Jun, 2007 oleh Jawatankuasa Perancang Negeri dan mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 13 Jun, 2007.

Kelulusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pengesyoran Jawatankuasa Bantahan Awam, nasihat dan pandangan MPFN serta pandangan-pandangan ahli Jawatankuasa Perancang Negeri. Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang diwartakan pada 28 Jun, 2007.

Rajah 1.2: Proses Penyediaan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang

1.4 KANDUNGAN LAPORAN RANCANGAN STRUKTUR NEGERI PULAU PINANG

Laporan RSNPP mengandungi penyataan-penyataan mengenai pencapaian pencapaian Negeri Pulau Pinang hasil daripada rumusan penemuan yang dibuat di peringkat Laporan Pemeriksaan. Pembentukan matlamat dan objektif pembangunan adalah selaras dengan matlamat pembangunan Negeri yang menjurus kepada pembentukan rangka strategik spatial Negeri. Matlamat serta hala tuju pembangunan Negeri digubal dan disasarkan di dalam mencapai taraf Negeri Maju. Matlamat dan objektif pembangunan RSNPP diselaraskan dengan wawasan pembangunan Negeri berdasarkan rancangan-rancangan pembangunan Negeri seperti Pelan Strategik Pembangunan Pulau Pinang (PSDP2), Rancangan Misi Pulau Pinang, Pelan Spatial Negeri Pulau Pinang dan Rancangan-rancangan pemajuan lain seperti Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan.

Laporan ini juga mengandungi penyataan-penyataan bertulis yang menyokong dasar dasar pembangunan yang digariskan serta Gambar Rajah Utama yang menerangkan strategi pembangunan spatial Negeri Pulau Pinang. Pembentukan Gambar Rajah Utama mengambil kira kawasan keutamaan pembangunan, pusat pusat petempatan bandar dan desa, kawasan pengekalan dan kawasan pemeliharaan Negeri, rangkaian perhubungan dan pengangkutan serta kemudahan infrastruktur utiliti bagi mencapai matlamat pembangunan Negeri yang digariskan.

Laporan mengandungi penyataan-penyataan bertulis bagi menyokong pembentukan Gambar Rajah Utama. Penyataan-penyataan tersebut merangkumi perkara-perkara berkenaan dengan dasar perancangan strategik. Setelah mengambil kira pandangan dan bantahan pihak awam, laporan RSNPP disediakan dimana ia dibahagikan kepada 5 bab iaitu :-

Bab 1 Pendahuluan

Bab ini merupakan pengenalan mengenai laporan yang menjelaskan tentang tujuan penyediaan, proses yang terlibat dan kandungan di dalamlaporan. Ia juga menjelaskan tentang profil Negeri Pulau Pinang.

Bab 2 Arah Tuju RSNPP

Bab ini menerangkan tentang hubungan penyediaan RSNPP dengan RMK 9, RFN dan rancangan-rancangan pemajuan lain yang berkenaan. Di samping itu, pencapaian dan arah tuju RSNPP turut diperjelaskan.

Bab 3 Pelan Strategik Guna Tanah (Gambar Rajah Utama)

Bab ini mengandungi matlamat dan asas strategik guna tanah yang telah dirangka untuk menghasilkan Gambar Rajah Utama. Pelan ini menggariskan pemajuan dan penggunaan tanah Negeri Pulau Pinang pada tahun 2020.

Bab 4 Penyataan Dasar-Dasar dan Cadangan Umum RSNPP

Bab ini mengandungi penyataan bertulis berkenaan dasar-dasar pemajuan guna tanah bagi semua sektor pembangunan yang terlibat dan langkah langkah perlaksanaan yang perlu diambil tindakan oleh agensi agensi yang berkaitan.

Bab 5 Pengurusan dan Perlaksanaan

Bab ini menjelaskan berkenaan proses perlaksanaan dan pemantauan RSNPP untuk memastikan matlamat pembangunan yang digariskan dapat dicapai. Bab ini antara lain akan memperincikan mekanisma bagaimana dasar-dasar RSNPP dilaksanakan. Bab ini juga akan menyentuh tentang mekanisma sistem penyampaian terkini yang digunapakai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan seperti (OSC), One Stop Centre sistem pengeluaran perakuan siap dan pematuhan oleh para profesional (CCC), pengujudan (COB) dan sebagainya; yang mana kesemuanya Commisioner of Building akan melancarkan perlaksanaan secara langsung dasar dasar RSN yang menekankan - kelancaran dan kecekapan perancangan dan perlaksanaan pemajuan fizikal Negeri.

1.5 PROFIL KAWASAN KAJIAN

Kawasan kajian bagi RSNPP meliputi keseluruhan Negeri Pulau Pinang dengan keluasan 104,868 hektar termasuk kawasan cadangan tapak tanah tebus guna seluas kira-kira 1,500 hektar . Negeri Pulau Pinang terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian Pulau dan Seberang Perai. Ianya terletak di utara Semenanjung Malaysia dan di sempadani oleh beberapa negeri di bahagian Seberang Perai iaitu Negeri Kedah di sebelah Utara dan Timur serta Negeri Perak di bahagian Selatan.

Negeri Pulau Pinang terdiri daripada 5 daerah iaitu Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya di bahagian Pulau Pinang serta Daerah Seberang Perai Utara, Daerah Seberang Perai Tengah dan Daerah Seberang Perai Selatan di kawasan Tanah Besar . Ibu Negeri bagi Negeri Pulau Pinang adalah George Town dan ianya disokong oleh beberapa bandar utama lain seperti Bayan Baru, Jelutong, Tanjong Tokong, Bandar Baru Ayer Itam, Butterworth, Bukit Mertajam dan Kepala Batas

Bagi konteks RSNPP, penggunaan terma Negeri Pulau Pinang akan digunakan bagi merujuk keseluruhan kawasan kajian iaitu keseluruhan bahagian Pulau dan Seberang Perai.

Jumlah penduduk Negeri Pulau Pinang pada tahun 2000 adalah 1.3 juta dan dianggarkan berjumlah 1.4 juta orang pada tahun 2005. Aktiviti utama majoriti penduduk adalah tertumpu pada sektor pembuatan, pelancongan dan sektor perdagangan borong dan runcit.

Rajah 1.3: Kawasan Kajian Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang